2013-06-12

SUFFERCATION - RANCANG RILIS SEBUAH EP


Sekian lama menyepi SUFFERCATION dilaporkan bakal kembali mengisi ruang-ruang kosong yang ditinggalkan semenjak kali terakhir merilis album “As We Breathe...” di tahun 2007 dahulu. Sebagaimana sedia maklum, “As We Breathe...” mendapat kritikan dek kerana dikatakan terlalu cenderung kepada Melodic Death Metal manakala dua versi “Day Of Darkness” masing-masing rilisan Afterlife Productions (Malaysia) dan Blackwinds Production (Singapura) hanyalah sekadar rilisan semula album pertama mereka pada 1992 yang lalu.

Pernah juga terdapat perkhabaran bahawa SUFFERCATION sekitar tahun 2009 berkemungkinan melahirkan sebuah album baru sebagai susulan kepada “As We Breathe...” namun kemungkinan itu tidak menjadi kenyataan. Berita mengenai rakaman sebuah lagu baru pernah disiar dalam EKSTRIM bertarikh 4/2/2009: RUJUK SINI. [EKSTRIM percaya rakaman sebuah lagu yang dimaksudkan tersebut adalah ‘...And Die You Shall’ yang termuat sebagai bonus dalam rilisan “Day Of Darkness (The Re~Awakening)” terbitan Afterlife Productions – Editor]

Mutakhir, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman facebook SUFFERCATION, mereka diberitakan dalam perancangan untuk merilis sebuah EP dengan kandungan 4 buah lagu baru dan tambahan sebuah lagi lagu adalah rakaman semula ‘Satan Cries’ yang dipetik dari album sulung mereka. Berdasarkan perkembangan semasa, mereka turut memaklumkan yang 2 lagu dari empat karyacipta baru yang disebut tadi telah siap dan selesai dirakam. Mereka kini dalam proses untuk menyudahkan yang selebihnya. 

Ly Razak selaku pemain dram memohon agar peminat dan penyokong SUFFERCATION sedikit bersabar menanti rilisan EP. “Proses menyiapkan EP ini agak perlahan disebabkan Rob Razak berada di Kelantan manakala Jeff Illias pula di Ipoh, Perak. Jadi, ia mungkin makan masa sedikit”, ujar beliau yang kini bermastautin di Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama SUFFERCATION juga sedang mencari funder dalam usaha mereka untuk merealiasikan material EP ini. Ly Razak akui usaha mengeluarkan EP ini akan lebih baik, sempurna dan berjalan lancar sekiranya ada tajaan.

EP yang sedang diusahakan ini pastinya sesuatu yang menarik bukan sahaja mengetengahkan lagu-lagu baru tetapi juga penampilan rakaman semula lagu ‘berhantu’ mereka – Satan Cries. “Kita orang rekod balik lagu tu dengan sound baru dan tempo yang lebih baik dari dulu la.. Lagu tak berubah.. mood memang maintain cuma kita buat lebih baik.. Tempo yang dulu tak konsisten..” maklum Ly Razak berkaitan perubahan dalam lagu rakaman semula tersebut.

Dalam rakaman EP ini, SUFFERCATION dikatakan kembali kepada line-up asal iaitu; Jeff Illias (vokal, gitar), Rob Razak (bass, gitar) dan Ly Razak (dram). Mereka akan menggunakan sessionis (pemuzik undangan) di bahagian bass sekiranya SUFFERCATION bermain dalam mana-mana gig di masa hadapan. Untuk itu, nantikan EP yang mengujakan ini!

Hubungi:
http://www.facebook.com/suffercation.page

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...