2015-05-08

BELASUNGKAWA: AS (SILENT DEATH)


Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un. Azlie Samad telah kembali ke rahmatullah pada 7 Mei 2015 selepas sehari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kota Bharu (Hospital Raja Perempuan Zainab II). Keadaan beliau dilaporkan kritikal (penyakit tidak didedahkan) dan semakin tenat selepas waktu Asar. Beliau tenang menutup mata menyahut panggilan Ilahi sekitar jam 5:50 petang, pada usia 41 tahun.

Azlie Samad atau panggilannya As (ada juga dieja Az) adalah bekas anggota kumpulan muzik berat SILENT DEATH. As menggalas tugasan gitar bass (dan selitan bahagian vokal) dalam album pertama SILENT DEATH "Before The Sunrise" (Dark Journey Records, 1992) yang kini diangkat sebagai salah satu rilisan terpenting dalam sejarah awal muzik Death Metal di Malaysia. 

Saya (penulis EKSTRIM) pernah juga ngeteh bersama arwah ketika saya masih bertugas di Kota Bharu, Kelantan. Acapkali juga kami berbalas private message di facebook di mana kali terakhir As beritahu hendak berjumpa pada petang 1 Jun 2014 di Solaris (sewaktu berlangsung gig TOTAL WAR II di Black Box, Publika Solaris Dutamas) tetapi As membatalkan kehadiran beliau di saat akhir kerana ada tugasan lain. Dengan kepergian As ini, saya merasa begitu terkilan tak dapat bertemu As pada masa tersebut kerana memang kami sudah lama tak berjumpa dan bersembang. 

Terima kasih As di atas persahabatan yang pernah terjalin antara kita. As disemadikan di tanah perkuburan Kg. Kerilla, Tanah Merah, Kelantan. Damailah di sana Azlie Samad a.k.a As Silentdeath (22 Disember 1974 - 7 Mei 2015). Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.



DALAM KENANGAN: SILENT DEATH - Before The Sunrise. SILENT DEATH pasti dikenang antara band terawal merakam album Death Metal di negara ini. Ianya kini (mungkin) berkubur menjadi sejarah apatah lagi dua anggota asal; Zulfikar a.k.a Pink (meninggal dunia Julai 2010) dan Mohd Tajul Aasyikin a.k.a Stone (meninggal dunia 11 Jun 2012) terlebih dahulu pergi menemui Penciptanya. "Before The Sunrise" adalah Mahakarya Metal Malaysia. Terima kasih As dan SILENT DEATH. Biar jasa jadi kenangan!


Allahyarham Azlie Samad - facebook.com/azlie.samad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...