2015-05-20

INHUMAN - PENERBITAN SINGLE & PERANCANGAN ALBUM


Samada ada perasan atau tidak, INHUMAN setakat ini telah menerbitkan 3 buah single dan difahamkan akan menghasilkan 2 lagi single sebagai langkah awal menuju pengeluaran sebuah album penuh dari band ini. Dalam laporan-laporan terdahulu, Ekstrim telah menyiarkan secara ringkas berkenaan 3 single yang telah dikeluarkan; “D.O.D” (Single #1, 13/01/2015), “Awakening” (Single #2, 23/03/2015) dan “Breathing Fire” (Single #3, 28/04/2015). Anda boleh dengari lagu-lagu single tersebut di saluran YouTube: youtube.com/channel/UCnoJxGPelgIrUwC393CKS9w atau laman ReverbNation, seperti berikut:



“Kami sememangnya mempunyai perancangan untuk mengeluarkan sebuah album full-length. Lima buah lagu akan kami rilis terlebih dahulu satu-persatu sebagai rilisan single. Ini adalah strategi kami untuk memaklum dan memberitahu kepada rakan-rakan di luar sana bahawa InHuman masih ada dan kembali aktif. 5 buah lagu ini nanti akan dikira side A, manakala tambahan 5 buah lagu lagi untuk side B, semuanya 10 buah lagu akan kami himpunkan sekali dijadikan album penuh InHuman”, menurut Fen Malique memperjelaskan motif dan objektif di sebalik penerbitan single-single tersebut. 

Bagi anda yang kurang arif tentang INHUMAN, mereka sebenarnya telah lama ditubuhkan. Berpaksikan muzikal old-school Thrash/Death Metal, band ini diasaskan pada 11 Oktober 1990 di Kuala Lumpur. Setelah beberapa kali tampil dalam sirkit gig underground tempatan, mereka akhirnya berpecah pada sekitar 1995 tanpa sebarang rilisan. Antara penampilan INHUMAN yang paling diingati adalah di gig “The Gathering …beyond the Northern Winds” bertarikh 31 Disember 1993 di Dewan St. John, Ipoh.


“Untuk makluman anda, single ke-3 kami Fire Breathing sekarang pada kedudukan Rank #1 dalam ReverbNation Metal Chart bagi negara Malaysia. Aku sendiri macam tak percaya dan kurang pasti samada boleh pakai atau tidak carta tu, akan tetapi sedikit sebanyak kami bangga dengan apa yang telah kami hasilkan setakat ini dan paling penting ianya diterima dengan baik”, ujar Fen Malique merujuk kepada “Fire Breathing” Single #3 yang mula diperdengarkan sejak 28 April 2015. Bagi meneruskan penerbitan single bersiri INHUMAN, beliau yang merupakan gitaris serta komposer dalam band turut memaklumkan bakal terbitnya Single #4, berjudul “Black Flag Rise” pada akhir bulan Mei ini.

Penyatuan semula INHUMAN ditahun 2015 ini rupanya tidak melibatkan kesemua anggota asal band tersebut. Selain Fen Malique, ahli yang tinggal hanyalah Ishan Yusoff (gitar) dan Art (dram) meneruskan perjuangan menghidupkan INHUMAN. “Side A ni aku yang compose semua lagu. Tapi Side B dijangka lebih menarik sebab aku brkolaborasi dengan Ishan dan aku berani cakap inilah InHuman yang sebenar. Selain dari menyiapkan lagu-lagu, sekarang ini pun kami tengah recruit pemain bass dan vokalis baru. Insya-Allah, bila siap semuanya nanti InHuman akan lebih bersedia untuk kembali beraksi live di pentas”, kata Fen Malique lagi yang tampak begitu bersemangat tinggi dalam merealisasikan reunion INHUMAN, baik dari segi rakaman lagu, pengeluaran album mahupun persembahan pentas. 

Ditubuhkan 25 tahun yang lalu, walaupun pergerakan awal mereka hanya bertempoh 5 tahun sebelum hilang begitu lama dalam peta metal underground Malaysia, INHUMAN kembali untuk masih mengekalkan konsep muzik mereka yang dulu – old-school Thrash/Death Metal. Fen Malique tegas menerangkan: “Itulah muzik yang telah sekian lama sememangnya influence InHuman. Kami faham susah sebenarnya nak tembus pasaran sekarang ni. Selera pendengar telah banyak berubah. Genre metal pun dah semakin banyak pecahan. Band-band muda banyak yang hebat belaka. Metalcore meletop-letop! Tapi kami tetap setia dengan old-school Thrash/Death Metal. Kami Cuma kasi upgrade, kasi nafas baru agar ianya terus relevan dalam arus sekarang!”. 

Ternyata, kelahiran beberapa single dari INHUMAN adalah isyarat kebangkitan mereka, petanda awal bakal zahirnya sebuah album penuh dari sebuah band yang telah melalui pelbagai suasana; zaman gemilang era 90’an, perpecahan dan pembubaran serta penyatuan semula yang mungkin tiada siapa pernah menyangka. Terimalah kepulangan INHUMAN dalam orientasi Death Metal mereka yang lebih matang berlirikkan ceritera tentang hidup dan mati, akhir zaman dan kiamat, syurga dan neraka. Segalanya dari kacamata Islam.

INFORMASI:
facebook.com/pages/InHuman/1041762769172824
reverbnation.com/inhuman7

BERKAITAN:
INHUMAN - BREATHING FIRE (SINGLE #3, 2015)
INHUMAN - AWAKENING (SINGLE #2, 2015)
INHUMAN - D.O.D (SINGLE #1, 2015)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...